Friday, 26 March 2010

42% tak tahu hak pengguna

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bahawa terdapat 42% daripada 5000 responden dalam kajian yang dijalankan pada tahun lalu tidak peka dan tidak tahu hak mereka sekiranya berlaku penindasan. Malah, ada yang tidak tahu mereka mempunyai saluran untuk mengadu bagi menuntut hak mereka sebagai pengguna apabila dinafikan pihak tertentu. Beliau berkata demikian pada majlis menyampaikan geran bantuan bernilai RM500 setiap satu kepada Kelab Pengguna Sekolah dari 117 sekolah menengah di Selangor.
Ismail Sabri berkata, terdapat juga responden yang tidak mengetahui bayaran serendah RM5 dikenakan bagi membuka sesuatu kes di tribunal tanpa perlu melantik peguam. Sehingga ini, katanya, terdapat 23 tribunal pengguna di seluruh negara dengan tujuh lagi bakal ditubuh menjelang hujung tahun ini. Beliau berkata, pengguna perlu bijak dan sedar hak mereka yang apabila merasakan ditindas perlu tampil ke tribunal untuk melaporkan kes. Berhubung soal penyelesaian kes, katanya, 6,491 kes dicatat di tribunal di seluruh negara sepanjang 2009 dengan 97.17 peratus kes sudah diselesaikan

Thursday, 25 March 2010

Masalah yang dihadapi oleh para pengguna

Masalah utama yang timbul pada masa kini ialah para pengguna belum sedar dengan hak-hak dan tanggungjawab mereka sabagai pengguna. Hal ini telah menjadi punca timbulnya masalah lain yang merunsingkan. Misalnya, usaha-usaha pergerakan persatuan pengguna dan kerajaan untuk melindungi hak-hak, kepentingan pengguna dan membendung inflasi tidak dapat mencapai matlamatnya dengan berkesan. Di samping itu, pengguna sendiri pula kurang peka terhadap hak-hak mereka yang diperuntukkan dalam undang-undang dan peraturan yang diwujudkan untuk melindungi mereka. Seterusnya, para pengguna juga kurang mengambil tahu tentang institusi dan peranan perlindungan pengguna yang ada di negara ini yang berfungsi untuk melindungi kepentingan mereka. Sebagai contoh:
a.
Majlis Hal Ehwal Pengguna Kebangsaan (MHEPK)
b. Majlis Penasihat Pelindung Pengguna Kebangsaan (MPPPK)
c. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna
d. Bahagian Hal Ehwal Pengguna
e. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
f. Majlis Hal Ehwal Pengguna Negeri dan Daerah
g. Persatuan Pengguna.
Akhirnya, pengguna juga mudah terjebak dalam perangkap peniaga yang tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan keuntungan. Mereka akan sengaja menyorokkan barangan yang kekurangan di pasaran dengan tujuan menaikkan harga barangan, tidak meletakkan tanda harga barangan dan perlabelan yang tidak lengkap.Hal ini secara tidak langsung akan mengelirukan pengguna.

Siapakah itu pengguna?

"Pengguna ialah setiap orang yang mendapatkan barangan dan perkhidmatan dari pasaran untuk kegunaan dirinya dan keluarganya". Secara mudah kita lihat pengguna dan konsep kepenggunaan ini dalam konteks yang paling mikro iaitu diri kita sendiri. Kita sebagai individu adalah pengguna tanpa mengira siapa sebenarnya kedudukan kita dalarn masyarakat sekeliling.Sebahagian besar dari apa yang kita gunakan adalah hasil usaha orang lain sama ada dalam bentuk barangan atau perkhidmatan.

Walaupun barangan atau perkhidmatan itu kita keluarkan sendiri atau kita bayar untuk menikmatinya tidak dinafikan bahawa kita adalah pengguna. Sebagai pengguna yang terpaksa membayar dengan jumlah wang atau tenaga usaha dengan kadar tertentu kita memang mengharapkan bahawa faedah yang kita perolehi dari transaksi berkenaan adalah faedah yang paling maksimum. Kita juga merasa bahawa kita perlu dilayan seperti raja dari segi barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada kita kerana kitalah yang berhak menentukan sama ada kita akan membeli sesuatu barangan atau perkhidmatan dan dari siapa kita akan mendapatkannya