Tuesday, 11 May 2010

SKIM CEPAT KAYA

1. Apakah Skim Cepat Kaya?
Satu pelan yang lazimnya menawarkan kadar pulangan yang tinggi atau tidak realistik bagi jumlah pelaburan yang kecil dan pada masa yang sama menjanjikan pelaburan tersebut adalah mudah dan bebas daripada sebarang risiko.

AMARAN: Skim Pelaburan Melalui Internet
Orang awam diingatkan supaya berhati-hati dengan skim pelaburan yang dipromosikan melalui internet. Sesetengah syarikat dan laman web yang menawarkan skim pelaburan melalui internet tidak dilesenkan atau diberi kuasa oleh Bank Negara Malaysia untuk mengambil deposit atau membuat urus niaga mata wang asing. Aktiviti sedemikian biasanya menawarkan pulangan pelaburan yang menarik atau peluang pelaburan yang membabitkan kadar pulangan yang tidak realistik dan tanpa risiko atau berisiko rendah.

Pelabur adalah diingatkan supaya membuat deposit hanya dengan institusi yang berlesen atau menjalankan urus niaga mata wang asing dengan institusi yang diberi kuasa oleh Bank Negara Malaysia agar mereka boleh mendapat perlindungan yang sepatutnya. Pengendali tidak berlesen boleh berhenti menjalankan perniagaan mereka yang menyebabkan pelabur-pelabur tidak mempunyai apa-apa cara untuk mendapatkan semula wang pelaburan mereka atau membuat tuntutan terhadap mana-mana orang yang terbabit dengan skim tersebut.

2. Bagaimanakah untuk mengesan Skim Cepat Kaya?

Skim pengambilan deposit secara haram
Orang berkenaan (individu, syarikat atau organisasi) menerima, mengambil atau menyetujuterima deposit daripada orang awam tidak mempunyai lesen di bawah seksyen 6(4) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989;

Orang tersebut berjanji untuk membayar semula deposit dengan atau tanpa faedah atau pulangan (faedah atau pulangan pelaburan dijanjikan untuk dibayar dalam suatu tempoh masa dan dalam bentuk wang atau nilaian wang, sebagainya); dan

Orang tersebut berjanji untuk membayar semula deposit pokok apabila pembayaran balik dituntut atau pada suatu masa atau mengikut hal keadaan yang dipersetujui oleh atau bagi pihak orang yang membuat bayaran itu dan orang yang menerimanya, dengan apa-apa balasan berupa wang atau nilaian wang (pembayaran pelaburan pokok adakalanya dimasukkan sekali dalam faedah atau pulangan tetap yang dijanjikan).


Amaran untuk Pelabur
Pengendali skim mata wang asing haram akan cuba menyakinkan bakal-bakal pelabur dengan strategi pasaran yang menjanjikan pulangan segera dan tinggi-

  • Melalui penampilan imej yang profesional dan bereputasi dengan barisan pekerja yang berpakaian segak, keadaan pejabat yang bercirikan teknologi tinggi dan kemudahan IT yang terkini yang memudahkan pelabur-pelabur untuk mengendalikan akaun-akaun mereka melalui internet;
  • Dengan peralatan urus niaga seperti suatu skrin berita yang menunjukkan pergerakan dalam kadar pertukaran untuk memberi gambaran bahawa sesuatu perniagaan yang profesional dan sah di sisi undang-undang sedang dijalankan;
  • Kebiasaannya, pelabur juga dikehendaki untuk menandatangani satu kontrak urus niaga dengan syarikat. Kontrak-kontrak ini sering tidak ditandatangani oleh syarikat. Ini bermakna tiada tindakan boleh diambil oleh pelabur terhadap syarikat kerana tiada kontrak formal yang mengikat.

3. Bagaimanakah untuk melindungi diri daripada terjebak dengan skim seperti ini?

  • Ingatlah pada kata hikmat ini - Sesuatu yang menguntungkan tetapi seakan terlalu mustahil untuk diterima akal, berkemungkinan besar merupakan satu penipuan;
  • Berurusan hanya dengan institusi kewangan berlesen dan peniaga mata wang asing yang di beri kuasa;
  • Semak terlebih dahulu dengan pihak berkuasa yang berkaitan;
  • Jangan gopoh atau membiarkan diri dipaksa untuk melabur;
  • Berhati-hatilah dengan pelaburan yang dibuat melalui internet;
  • Berwaspada dengan sebarang peluang pelaburan yang tidak bertulis; dan
  • Jika suatu pelaburan telah dibuat, simpan kesemua dokumen yang berkaitan dengan pelaburan dan komunikasi dengan selamat.