Thursday, 1 April 2010

Contoh hak pengguna untuk mendapatkan ganti rugi

Projek rumah terbengkalai di Hulu Selangor

Saya merupakan salah seorang pembeli rumah dari satu projek perumahan yang dimajukan oleh Ibrah Sdn. Bhd. yang beralamat di No.1, Lot 2041 Jalan Besar, 44100 Kalumpang, Hulu Selangor, Selangor, nombor telefon 05-4584976 dan tapak projek perumahan ini terletak tidak berjauhan dengan pejabat pemaju berkenaan.
Apa yang amat dikesalkan adalah sehingga ke tarikh surat ini dikeluarkan, didapati masih tiada aktiviti pembinaan dijalankan di tapak bina melainkan kerja-kerja merata tanah dan menanam pancang kayu yang difahamkan hanya bermula pada bulan November 2005 serta satu mesin ’piling’ yang diletakkan sekitar bulan Oktober 2006.
Disertakan bersama ini imej-imej yang diambil menggunakan telefon bimbit untuk paparan jelas kepada pihak-pihak berkenaan agar siasatan dapat dibuat dan yang paling penting kami mahu duit kami dikembalikan segera.
Untuk makluman, saya bersama rakan-rakan yang terpedaya dan kecewa telah mengeluarkan surat pembatalan pembelian rumah di kawasan projek tersebut.
Saya sendiri telah membuat sejumlah bayaran sebanyak RM10,625.00 sebagai bayaran deposit kepada Together Properties sebanyak RM500.00 (bertarikh 09 November 2004) dan bayaran komitmen kepada Mahle Sdn. Bhd. sebanyak RM 10,125.00 (bertarikh 07 Februari 2005).
Surat pembatalan bertarikh 30 Mac 2006 telah diserahkan kepada pihak pemaju dan disalinkan kepada peguam Mazlinda Azlina & Co. Di alamat 88-1, Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, 68100 Selayang, KL namun sehingga kini masih tiada maklumbalas.
Apabila dihubungi, kerani di pejabat pemaju berkenaan meminta kami menghubungi Ketua Projek di talian 012-3736127 tetapi seakan sengaja tidak dijawab memandangkan kami seringkali menanyakan tentang pemulangan duit kami.
Kami amat terkejut apabila pihak pemaju meminta kami mendapatkan pembeli baru terdahulu bagi menggantikan nama kami sebelum mengembalikan duit kepada kami.
Kemana duit yang kami bayar dahulu sedangkan tiada apa yang dibangunkan di tapak projek?
Adakah duit itu digunakan untuk membayar hutang-piutang mereka atau anak-anak mereka?
Berapa banyak keuntungan atau faedah yang mereka perolehi sekiranya duit tersebut disimpan dalam akaun mereka?
Bagaimana kami hendak mencari dan menyakinkan pembeli lain dengan situasi terkini di tapak projek berkenaan?
Apabila kami mula mendesak untuk menyalinkan surat pembatalan dan aduan kepada pihak-pihak berkuasa yang lain dengan menghantar mesej pesanan ringkas (SMS), jawapan SMS yang kami terima adalah;
”Walaikumsalam, tunggulah, nama dah hantar ke EXCO, apa bila turun, nama encik dibatalkan, barulah wg komitmen dpulangkan. Harap sabar. Terima kasih.”
Apa yang menghairankan kami mustahil untuk ”EXCO” yang dimaksudkan itu sungguh lembap dan lambat untuk membuat pertimbangan untuk kelulusan pembatalan dan kami tidak tahu siapa ”EXCO” berkenaan dan tempat bertugasnya.

Hari raya tahun ini merupakan tahun kedua kepada kami menyambut hari raya dengan penuh kesederhanaan memandangkan duit itu sahajalah satu-satunya sumber kewangan yang ada setelah berjaya mengeluarkannya dari KWSP.
Kami sungguh terharu apabila mengenangkan kembali pada mulanya kami berniat untuk membantu usahawan Bumiputera membangunkan projek perumahan memandangkan projek-projek perumahan lain yang dinaungi oleh pemaju bukan Bumiputera sungguh rancak membangun di Tanjung Malim, Behrang dan Hulu Selangor selaras dengan kemajuan mendadak di Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Bandar Proton.
DENGAN INI KAMI MENDESAK PIHAK PEMAJU MEMULANGKAN DENGAN KADAR SEGERA SEMUA DUIT KAMI TERMASUK GANTI RUGI 5%.

No comments:

Post a Comment